Budaya

Saturday, August 28, 2010

Fahami Warisan Seni Persilatan



Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Teuku Iskandar 1970) memberikan makna silat sebagai sejenis permainan dengan menggunakan ketangkasan dan mempertahankan diri bagi bangsa Melayu dan Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau.

Silat juga merupakan sejenis permainan atau sukan tradisi yang mempertarungkan dua orang pesilat yang mahir dalam ilmu seni bela diri sama ada menggunakan senjata atau tanpa senjata. Namun, silat lebih dikenali dalam sosio budaya Melayu sebagai permainan tradisi, iaitu permainan yang dapat mengekalkan ilmu kepahlawanan atau seni perang Melayu dalam bentuk seni rakyat, maka persembahan permainan silat atau pertandingan silat kerap diiringi paluan pergendangan silat yang dikenali sebagai Muzik Silat Baku Malaysia.

Permainan tersebut bertujuan untuk membuat persembahan ataupun memilih pesilat yang terbaik. Justeru, permainan silat atau sukan tradisi rakyat seharusnya memerlukan kemahiran atau ketangkasan fizikal bagi memperlihatkan seni silat sebagai suatu seni bela diri yang unik. Namun begitu,usia sesebuah ilmu atau salasilah seni persilatan tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam tetapi ilmu persilatan ini telah diperturunkan dari generasi ke generasi kerana bimbang ilmu ini akan terkubur begitu sahaja.


Tuntasnya,seni persilatan yang unik perlu dijadikan sebagai warisan yang gemilang sepanjang zaman. Bak kata pepatah "Biar mati anak, jangan mati adat".Oleh itu, usaha dalam mengekalkan warisan seni persilatan tidak seharusnya dipandang enteng. Ia harus dipelihara supaya terus subur meredah zaman, "Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan".







Disediakan Oleh,
Nor Aznah Bt Azman 206835

Sejarah Silat Melayu

Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad-7M.Silat telah diakui sebagai seni Melayu asli.Orang Melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai pulau Sumatera dan semenanjung Melayu,dari Aceh di utara ke kelantan,kedah dan kepulauan Riau di selatan ,dan Pattani di utara adalah orang yang mengamalkan silat.Kumpulan suku kaum lain seperti budaya cina dan india juga telah dibuktikan mempengaruhi bentuk silat. Apabila Islam disebarkan sepanjang NUsantara abad ke-14,ia diajar di samping dengan silat.Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan sultan,panglima dan pendekar sewaktu empayar kesultanan Melaka ,Majapahit dan Srivijaya.

Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu,Jawa ,Bali,Sulawesi dan Borneo.Orang Melayu,terutama di Semenanjung Melayu menganggap cerita legenda Hang Tuah pada abad ke-14 sebagai bapa silat.Silat pernah diletak di bawah perlindungan istana untuk menbentuk angkatan perang raja.Raja-raja Melayu mengalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang.Pendekar yang handal diangkat mengepalai angkatan perang dan mendapat kurnia dan darjat daripada raja.

Silat berkongsi sejarah yang sama di Malaysia (termasuk Singapura ketika itu),Brunei dan Indonesia sewaktu era penjajahan sebagai suatu wadah untuk membebaskan diri daripada kekuasaan penjajah.Sewaktu era pasca penjajahan ,silat telah menikmati populariti dan nama yang tinggi oleh kerana jasa-jasa pendekar yang telah memimpin perjuangan dan mengorbankan nyawa untuk kemerdekaan.


Disediakan Oleh,
Loo Shi Ling 207198

Jenis Silat (Umum)

Pada umumnya, terdapat dua jenis silat, iaitu silat pulut dengan silat buah pukul atau lebih dikenali sebagai seni pertempuran.

Silat pulut ini biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan. Akan tetapi, silat pulut bukanlah satu aliran silat yang berlainan yang hanya memfokuskan persembahan sahaja dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang telah diatur. Sebenarnya, nama silat pulut berasal daripada 'pulut pengantin' majlis-majlis perkahwinan di mana ia selalu dipersembahkan.

Manakala, silat buah pukul atau seni tempur lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain.


Disediakan Oleh,
Ooi Yean Heong 207150

Aspek-aspek Silat

Terdapat tiga aspek utama dari pencak silat.Aspek pertama ialah dari seni budaya.Budaya dan permainan "seni" pencak silat ialah satu aspek yang sangat penting.Istilah pencak pada umumnya menggambarkan bentuk seni tarian pencak silat dengan muzik dan pakaian tradisional.

Aspek yang kedua ialah bela diri.Kepercayaan dan ketekunan diri adalah sangat penting dalam menguasai ilmu bela diri dalam pencak silat.Istilah silat adalah cenderung menekankan pada aspek kemampuan teknik bela diri pencak silat.

Aspek ketiga ialah aspek olahraga.Aspek tersebut berarti bahawa aspek fizik dalam pencak silat adalah penting.Pesilat mencuba menyesuaikan fikiran diri dengan olah tubuhnya.Kompetisi juga sebagai bahagian dalam aspek ini.Aspek olahraga meliputi pertandingan dan demonstrasi bentuk-bentuk jurus,baik untuk tunggal,ganda ataupun kumpulan.


Disediakan oleh,
Lim Yoke Ting 206660

Perguruan Silat

Perguruan silat adalah institusi tradisional pentadbiran Silat Melayu.Ia bersandar kepada hakikat bahawa sejak awal zahirnya ilmu silat ke alam Melayu,perkembangannya adalah berpaksikan pengasas atau guru yang menyampaikan ilmu silat tersebut.Silat telah berkembang secara meluas di ASEAN sejak lama dahulu dan kini berkembang secara meluas di seluruh dunia dengan kewujudan beberapa pusat latihan perguruan silat yang diwujudkan di seluruh dunia.

Kaedah penyebaran dan pengajaran berlangsung terus di antara guru dan murid.Salah satu syarat kelayakan utama penerimaan menjadi murid adalah tahap taat dan patuh seseorang murid kepada guru.Ilmu silat yang dikuasai oleh guru-guru tersebut hanya akan diturunkan kepada murid-murid yang dipercayai sahaja.

Lazimnya,seorang murid akan menuntut daripada seorang guru sehingga khatam ataupun tamat.Murid yang belum puas menimba ilmu akan berpindah dari guru ke guru sehingga murid tersebut mencapai tahap guru.Setelah mencapai tahap guru,murid tersebut pada kebiasaannya akan mengasaskan perguruannya sendiri.Justeru,tidak hairanlah pada masa kini terdapat pelbagai perguruan silat di Malaysia.


Disediakan oleh,
Wong Chow Kuan 206636

Pakaian Pencak Silat

Pakaian pencak silat terutamanya di semenanjung Malaysia kebiasaannya ialah baju Melayu. Bagi setiap ahli silat tidak kira lelaki mahupun wanita, meraka akan mengenakan Baju Melayu bewarna hitam.

Selain itu, kain sarong akan dipakai oleh ahli silat serta disisipkan keris pada bahagian pinggang sebagai senjata mereka. Pakaian lengkap ahli silat juga meliputi tengkolok atau tanjak yang diikat dengan cara yg berbeza mengikut pangkat dan kepercayaan.

Mereka juga memakai sampin di pinggang dan kemudiannya diikat dengan bengkung atau tali pinggang. Warna bengkung tersebut adalah berbeza mengikut mengikut pangkat seseorang itu. Sistem bengkung tersebut diadartasi dari seni mempertahankan diri Jepun.

Simbolik Pakaian Dan Peralatan Silat.

Keris :
- Keris merupakan alat kebesaran raja-raja Melayu sebagai lambang kedaulatan, kebesaran dan kekuatan.
- Keris juga berperanan sebagai senjata pendek yang digunakan oleh pembesar dan pahlawan untuk mempertahankan diri.

Tengkolok atau Tanjak.
- Bertujuan untuk menutup kepala ketika menghadiri sesuatu upacara rasmi seperti menghadap pembesar negeri atau daerah agar kelihatan lebih kemas.

Sampin.
- Sampin melambangkan keunikan Baju Melayu kerana sampin mempunyai gaya dan fesyen yang unik untuk dipakai dan melambangkan identiti dan gaya masyarakat Melayu.

Bengkung Silat.
- Menunjukkan tahap pencapaian individu terbabit dalam seni persilatan. Terdapat beberapa warna yang berbeza pada setiap bengkung yang melambangkan tahap pencapaian individu terbabit. contohnya :

- Peringkat satu : Bengkung Merah
- Peringkat Dua : Bengkung Merah (berjalur kuning)
- Peringkat Tiga : Bengkung Kuning
- Peringkat Empat : Bengkung Kuning (berjalur hijau)
- Peringkat Lima : Bengkung Hijau
- Peringkat Enam : Bengkung Hijau (berjalur biru)
- Peringkat Tujuh : Bengkung Biru
- Peringkat Lapan : Bengkung Biru (berjalur hitam)
- Peringkat Sembilan : Bengkung Hitam
- Peringkat Sepuluh : Bengkung Hitam (berjalur merah)
- Peringkat Sebelas : Bengkung Hitam (berjalur merah dan kuning)
- Peringkat Dua Belas : Bengkung Hitam (berjalur merah, kuning dan hijau)
- Peringkat Tiga Belas : Bengkung Hitam (berjalur tiga emas)




Disediakan oleh,
Ummu Hannan Bt Yusuf 204782

Wednesday, August 18, 2010

Manfaat Mempelajari Seni Silat...


Pada zaman sekarang, ketenteraman masyarakat yang tidak aman semakin membimbangkan penduduk tempatan. Banyak kes jenayah yang berlaku, terutamanya golongan wanita yang sentiasa menjadi sasaran jenayah dan mangsa. Oleh itu, golongan remaja khususnya digalakkan untuk mempelajari seni mempertahankan diri supaya dapat
menyelamatkan diri dan juga orang yang kita sayangi ketika perkara yang tidak diingini menimpa diri kita. Mempelajari seni silat dapat meningkatkan kewaspadaan dan kepekaan seseorang terhadap perubahan persekitarannya.

Seterusnya, mempelajari seni silat yang merupakan salah satu jenis seni mempertahankan diri baik untuk
kesihatan kita. Mempelajari seni silat merupakan senaman yang melibatkan banyak pergerakan badan. Kita akan banyak berpeluh selepas itu. Senaman ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecergasan kita malah membantu dalam membuang sisa toksik dalam badan kita melalui berpeluh.

Faedah ketiganya ialah
pembentukan jati diri serta pemupukan semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia silat. Misalnya, wujudnya 5 pantang-larang bagi membina jiwa yang berwibawa dan bermaruah dalam seni silat kalam. Antaranya ialah tidak boleh menderhaka kepada ibu dan bapa, tidak boleh menderhaka kepada abang dan kakak, tidak boleh menderhaka kepada segala Guru yang mengajar kebaikan, tidak boleh menderhaka kepada semua Ahli Kalam Utama serta tidak boleh mencaci segala rupa silat yang lain. Segala pantang-larang ini mengajarkan pengamalnya bersikap baik dan menerapkan saling hormat menghormati sesama insan di kalangan pengamalnya.

Selain itu, kita patut mengamalkan seni silat yang merupakan
warisan bangsa. Sejak zaman dahulu, orang Melayu banyak mengamalkan seni silat. Mereka menjadikan seni silat seni mempertahankan keselamatan diri mereka mahupun menggunakannya dalam membalas serangan musuh dan mempertahankan kedaulatan negara. Sebagai contohnya, wira terkenal pada Zaman Kesultanan Melaka, Hang Tuah mahir dalam seni silat. Seni silat ini telah lama wujud di dunia ini dan itulah kewajipan generasi muda untuk mewarisi dan mengekalkan tradisi ini agar seni silat dapat diajarkan kepada generasi yang akan datang dan tidak akan lenyap. Jika tidak, dalam majlis perkahwinan Melayu tidak akan dapat menyaksikan persembahan silat lagi dan generasi akan datang tidak akan tahu apanya itu seni silat.






Disediakan oleh,
Liew Chee Ying 207093